Bagaimana perkembangan sosiobudaya di sekolah rendah?
Sosiobudaya didefinisikan sebagai amalan gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat yang lahir dari pegangan dan kecenderungan diri masyarakat berkenaan untuk pembangunan sosial kehidupan masyarakat berkenaan (Rosfazila Abd Rahman, 2019). Sosiobudaya sekolah merangkumi nilai, norma, dan amalan yang diamalkan oleh warga sekolah yang secara langsung atau tidak langsung membentuk iklim pembelajaran dan sahsiah pelajar. Dalam konteks sekolah rendah, perkembangan sosiobudaya merupakan satu aspek penting dalam usaha membentuk persekitaran pendidikan yang holistik dan inklusif.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai dasar dan program pendidikan telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkukuh pembangunan sosiobudaya di sekolah rendah. Salah satu contoh yang signifikan ialah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran abad ke-21.Program TS25 bertujuan untuk merealisasikan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 melalui amalan PdP yang baik, kepakaran dalam aspek pedagogi dan kepimpinan serta membangunkan persekitaran pembelajaran afektif (Abdul Razak et al. 2022). Melalui pendekatan ini, guru digalakkan menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan murid, sekali gus merangsang pelajar untuk lebih aktif dan kreatif. Dalam kajian Ainnieda Lataq Impak dan Nor Azwahanum Nor Shaid (2023), pelaksanaan pengajaran berpusatkan murid dapat menunjukkan hubungan yang signifikan antara tahap kefahaman isi pelajaran dengan kaedah pengajaran guru.
Dalam aspek pembinaan budaya positif, pelaksanaan Program Sekolah Penyayang telah membentuk satu norma baharu dalam interaksi antara warga sekolah. Guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah menjadi pembimbing yang memahami emosi dan keperluan murid. Ini menghasilkan budaya yang lebih terbuka, menyokong, dan selamat bagi semua murid.
Perkembangan sosiobudaya ini juga dapat dilihat dalam pelaksanaan program seperti RIMUP (Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan) yang memberi ruang kepada murid pelbagai kaum untuk berinteraksi secara aktif melalui aktiviti kebudayaan, sukan dan permainan tradisional. Hasilnya, persefahaman antara kaum dan budaya dapat dipupuk sejak usia muda, membentuk asas kepada perpaduan nasional. Menurut Najeemah Yusof (2011), beliau mendapati murid di sekolah rendah paling banyak berinteraksi dari segi sosial dalam kalangan murid pelbagai enik.
Dari segi tingkah laku, budaya sekolah yang positif berjaya mengurangkan insiden salah laku seperti ponteng, buli, dan kurangnya disiplin. Hal ini disokong oleh pengukuhan nilai murni dalam kokurikulum dan pendidikan sivik, yang menekankan peranan murid sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab.
Kesimpulannya, perkembangan sosiobudaya di sekolah rendah sangat penting dalam membentuk persekitaran pendidikan yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan. Pelaksanaan dasar-dasar pendidikan yang menyeluruh serta aktiviti pembelajaran yang inklusif memainkan peranan utama dalam menghasilkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh dan bersikap prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
RUJUKAN
Abdul Razak, Alias, Bity Salwana & Mohamed Idrus, Rosafizah. 2022. Kepimpinan maya guru besar dan kesediaan guru terhadap perubahan di sekolah program TS25. Akademika 92: 45–58.
Ainnieda Lataq Impak & Nor Azwahanum Nor Shaid. (2023). Pembelajaran terbeza dalam pengajaran kemahiran membaca sekolah rendah. Jurnal Dunia Pendidikan 5(1): 205–216.
Najeemah Mohd Yusof. (2011). Language and ethnic boundary among students of various ethnicities in secondary schools in Malaysia. Sosiohumanika, 4 (2), 211–228.
Rosfazila Abd Rahman. (2019). Kesepaduan Sosiobudaya dalam Kepelbagaian Masyarakat Majmuk. Jauhar 3(1): 44-50. KUIS.